Perkara Utama Punca Lupa dan Petuanya
February 24, 2010 by admin
Filed under Tips Ibu Bapa, Tips Pelajar
Masalah lupa sering dialami oleh semua orang terutamanya para pelajar. Mereka mudah lupa apa yang disampaikan oleh guru. Ada dua persoalan. Pertama, mengapa mereka mudah lupa dan kedua, bagaimana mereka mengatasinya?
Kenapa kita lupa? Kata orang tua-tua, “orang yang suka makan kepala ikan mudah lupa“. “Orang yang meminum air mengandungi semut juga mudah lupa“. Benarkah itu? Saya pun tidak pasti. Namun yang penting kita perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan berzat. Kita juga wajib memilih makanan bersih. Kalau asyik makan kepala ikan di mana ada zatnya? Dan sekiranya minum air yang mengandungi semut sudah tentulah air itu tercemar.
Apakah sebab lain yang memungkinkan anda mudah lupa? Mungkin tekanan pelajaran, tekanan kerja rumah, tekanan di rumah, semua perlu disiapkan cepat dan macam hal lain lagi. Semua itu membuatkan anda merasa tidak teratur dan tidak terurus terutamanya dari segi masa. Fikiran dan perasaan yang tidak tenteram akan menghasilkan jiwa yang tidak tenteram. Perasaan ini akan mempengaruhi cara anda berfikir.
Terdapat tiga perkara utama yang boleh menyebabkan lupa.
Mengabaikan solat
Pelajar yang mengabaikan solat sama lah seperti mereka mengabaikan keperluan hidupnya. Ibadah solat merupakan tiang kehidupan sebagai seorang Muslim. Jika diabaikan bermakna mereka melupakan aspek kehidupan yang paling asas dan penting. Kalaulah aspek yang paling penting ini dilupakan apatah lagi aspek kehidupan yang lain.
Sering bercakap bohong
Pelajar yang sering berbohong sukar untuk membezakan perkara yang benar dan sebaliknya. Meraka yang suka berbohong bukan sahaja mewarisi penyakit lupa malah akan hilang jati diri.
Mungkir Janji
Alasan yang diberikan pelajar yang selalu mungkir janji adalah lupa. Jadi pelajar yang tidak menepati janji secara tidak langsung membawa dirinya ke arah penyakit lupa.
Petua agar ingatan lebih kuat dan dapat bertahan lama dalam aspek pelajaran
Mengulangkaji pelajaran
Lebih kerap pelajar mengulangkaji lebih kekal lama ingatan tentang apa yang dipelajari dalam minda
Gunakan pelbagai cara untuk menyalin nota
Jika nota ditulis menggunakan teks sahaja, maka pelajar akan cepat merasa bosan untuk mengulangkaji. Nota yang dicatat perlu dilakar dalam bentuk peta minda supaya pelajar senang ingat dan menarik minat untuk melihatnya. Pelajar perlu menulis nota secara kreatif, gunakan pelbagai jenis warna pen, penggunaan gambar atau grafik.
Gunakan pelbagai jenis carta
Termasuklah carta aliran, gambar rajah, venn, lukisan, singkatan, nemoniks dan lakaran
Kaedah bayangan
Pelajar boleh membayangkan isi kandungan yang dibaca. Bayangkan dalam bentuk gambar, gambar rajah, peta konsep, carta aliran, jadual serta pemandangan.
Mengulang dan mengingat kembali
Mengulang dan mengingat kembali bayangan itu dengan lebih kerap dan menyebutnya berulang kali.
Kurangkan teks
Jadikan ia gambar dan kata kunci
Pelancaran ‘i-Teacher’ oleh USM dan Kenshido
February 19, 2010 by admin
Filed under Berita Terkini
PULAU PINANG, 31 Jan: Selaras dengan misi perkongsian ilmu dengan masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperkenalkan produk ‘I-Teacher‘ yang dihasilkan bagi membantu proses pembelajaran di peringkat sekolah.
‘I-Teacher‘ dihasilkan menerusi penyelidikan tiga tahun Prof. Hanafi Atan, Prof.Madya Zuraidah Abdul Rahman dan Prof.Madya Omar Majid, pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM dan bakal dipasarkan kepada rakyat di negara ini menerusi kerjasama USM dengan 2 buah syarikat berasaskan teknologi pendidikan, iaitu e-Educator Sdn Bhd dan Kenshido International Sdn. Bhd.

- INOVASI UNTUK PENDIDIKAN NEGARA… T.Y.T. Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas menekan kekunci pada computer riba bagi menyempurnakan pelancaran pemasaran ‘I-Teacher’ dan Score A Programme di USM hari ini sambil diperhatikan oleh Prof. Ahmad Shukri (dua dari kanan), Prof. Madya Habibah (paling kanan) dan En. Abdul Shukor (kiri). Turut kelihatan ialah En. Jason Kok.
Produk berasaskan internet tersebut dilengkapi dengan pengisian mengikut silibus Kementerian Pelajaran Malaysia selain disokong oleh animasi interaktif, elemen bimbingan avatar, persembahan slaid dan ciri-ciri pemantauan perkembangan semasa pelajar.
Buat masa ini, ‘I-Teacher’ direkabentuk dengan khusus bagi membantu pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia.
T.Y.T. Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ketika melancarkan pemasaran produk ‘I-Teacher’ dan sebuah lagi produk pembelajaran syarikat Kenshido International Sdn. Bhd., Score A Programme berkata langkah memasarkan hasil inovasi dari sesebuah universiti demi manfaat masyarakat sesebuah negara adalah hasil kejayaan yang amat dinantikan oleh semua.
“Tambahan lagi, ia melibatkan produk pendidikan untuk pelajar sekolah. Kita sedia maklum, pendidikan anak-anak remaja adalah aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu, kejayaan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan” kata beliau.
Tambah beliau lagi, corak pembelajaran masa kini juga harus diteliti dan disesuaikan dengan kehendak, keperluan dan persekitaran semasa generasi pelajar yang kini hidup dalam zaman ICT.
“Kini telah wujud generasi baru yang dikenali sebagai ‘Digital Natives‘. Mereka ini lahir pada akhir tahun 1970-an dan dibesarkan dalam dunia di mana teknologi sudah wujud dan kian giat berkembang. Seharusnya wujud pertimbangan agar sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan perlu memenuhi keperluan warga ‘Digital Natives’ ini” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) mewakili Naib Canselor USM berkata pihak universiti sentiasa memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangunkan hasil penyelidikan universiti ke arah komersialisasi.
“USM misalnya telah menyalurkan pelbagai dana penyelidikan seperti Geran Penyelidikan ‘Research University’, Geran Penyelidikan Jangka Pendek, Geran Insentif dan sebagainya bagi membolehkan usaha ini dilaksanakan. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi turut tidak ketingalan membantu dalam usaha ini.”
“Pemasaran produk adalah KPI yang perlu diperolehi bagi penyaluran dana keada staf akademik. Pembangunan produk ‘I-Teacher’ yang dibangunkan menerusi geran penyelidikan USM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ini adalah satu kejayaan amat kami banggakan” kata beliau.
Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan penandatanganan Perjanjian Kerjasama di antara USM dan e-Educator Sdn. Bhd dan juga penandatangan Perjanjian Kerjasama di antara e-Educator Sdn. Bhd. dengan Kenshido International Sdn. Bhd.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Prof. Madya Habibah Hj. Lateh, Dekan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, En. Jason Kok, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden, Kenshido International Sdn. Bhd dan En. Abdul Shukor, Pengarah, e-Educator Sdn. Bhd.

Sumber dari berita USM : http://www.usm.my/my/berita-penuh.asp?id=7687
Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?
February 17, 2010 by admin
Filed under Motivasi, Tips Ibu Bapa
Semua ibu bapa mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka. Orang biasanya tidak tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat. Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Yang mampu, sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh guru-guru pakar. Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang.
Sebelum kita menekan anak-anak cuba semak diri kita dahulu. Adakah kita telah memainkan peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan tersebut?
Berikut adalah perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan:
Menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar.
Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa. Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah rendah. Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat belajar. Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru. Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah. Oleh itu sebagai ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja.
Sediakan satu bilik atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah. Pastikan ruangan ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan. Pastikan juga cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar mereka.
Tidak ragu-ragu untuk disiplinkan anak
Pelajar cemerlang adalah pelajar yang berdisiplin. Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka. Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya. Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak. Duduk dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka. Terangkan pada anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar, beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari. Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di rumah atau di luar. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka.
Mengawasi dan menemani anak
Ibu bapa boleh meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan menemani anak ketika waktu belajar mereka. Untuk anak-anak peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari. Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta kemahuan mereka.
Sabar dalam mengajar
Mengajar anak sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar anak-anak dalam pelajaran mereka. Mereka geram kerana anak-anak mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya. Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti kita. Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka. Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba. Kalau mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan sebagainya. Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya.
Selalu berbincang dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah
Kenali siapa guru anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka. Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan sebagainya. Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah. Dengan cara ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita. Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan ‘self-esteem’ mereka. Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa. Komitmen anak-anak secara langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka.
Ikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah
Jangan tunggu hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak. Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak. Ibu bapa hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa. Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada. Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin. Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu. Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi. Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam pelajaran mereka. Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada kebolehan dan masa depan. Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha. Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal. Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.
Kenali rakan-rakan anak dan ibu bapa mereka
Rakan-rakan adalah orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta imej mereka. Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah nanti. Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya. Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa mereka. Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak. Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak. Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur dan menasihati anak kita. Dengan cara ini anak kita dan rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana utamakan pergaulan.
Sentiasa mengintai peluang yang boleh memajukan anak
Dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka. Ibu bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan anak-anak. Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran.
Disamping itu, program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka. Ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan. Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi.
Jadikan budaya membaca sebagai suatu amalan
Masyarakat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah. Penyakit ini menular dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di rumah. Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga. Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku. Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri. Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata. Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.
Memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka
Adalah tidak adil apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan dan emosi mereka. Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya. Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu belajar. Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari keluarga. Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan. Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya. Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur. Adik kecil boleh gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna. Malah, ibu bapa boleh gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu. Dengan cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya.
Meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak
Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita. Namun begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak mereka. Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa tertekan. Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung. Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang baik. Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi. Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu. Adakah ia menjadikan anak kita lebih bijak? Pastinya tidak. Adakah ia akan mengubah cara anak kita belajar? Mungkin juga tidak. Ia hanya akan melukakan lagi hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka. Oleh itu, bincanglah dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk capai matlamat tersebut. Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa.
Tidak merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain
Manusia mudah percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu mempunyai pengaruh atas dirinya. Begitulah juga anak kita. Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di depan anak-anak mereka. Misalnya, “anak saya ni malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi. Wajah anak tiba-tiba berubah. Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa, marah dan sebagainya. Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu. Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka percaya itulah diri mereka yang sebenar.
Kesilapan sebegini dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari. Jadi mulai hari ini, kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran mereka. Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih kepada kelebihan mereka. Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik. Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain. Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas, buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain. Tegur perbuatannya bukan orangnya.
Tidak membanding-bandingkan kebolehan
Ibu bapa perlu ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza. Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik. Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya. Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka? Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan mereka. Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula. Oleh itu, membandingkan anak tidak membantu kecemerlangan mereka. Adakah ini bermakna kita tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak? Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan. Ibu bapa, lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka. Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak ambil kisah. Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini. Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa. Cukup sekadar menegur dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka. Waktu lain, ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan tauladan. Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka.
Ganjari bukan sahaja hasilnya tapi juga usahanya
Manusia hanya berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya. Sekiranya ibu bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam PMR. Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan. Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak. Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan. Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya. Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka. Namun begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang berbeza. Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit. Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30 sahaja.
Sentiasa doakan kejayaan anak
Doakanlah kejayaan anak-anak sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja. Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul. Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa. Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan mereka. Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang buat di rumah? Ketika itu terus berdoa dalam hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti. Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa ibu. Saya datang dari keluarga yang miskin dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam. Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.” Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”. Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu. Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan dalam hidup saya. Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka. Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu.
Jaga Sumber Makanan
Kita adalah apa yang kita makan. Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih untuk anak-anak kita. Makanan akan menjadi darah daging mereka. Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya. Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting ini. Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t.
Tidak berputus asa dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah.
Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita. Oleh itu tidak perlu kita berputus asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk melihat mereka cemerlang. Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha yang lain. Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada pendekatan yang lain. Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan. Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya. Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita. Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya. Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat Allah. Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.
Perlu diingat, anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan kerohanian. Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya. Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka. Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.
Rahsia Minda
February 12, 2010 by admin
Filed under Tips Ibu Bapa, Tips Pelajar
Para pakar otak dan pembelajaran kini mengakui bahawa otak kita berfungsi dari dua bahagian iaitu otak kiri dan otak kanan. Untuk belajar dengan cemerlang, kita haruslah menggunakan kedua-dua bahagian otak kita. Kerjasama antara otak kiri dan otak kanan disebut sebagai TOTAL LEARNING. Inilah rahsia minda seseorang pelajar yang cemerlang.
Teknik menggerakkan otak kiri dan otak kanan serentak.
Pelajar dinasihatkan untuk mengamalkan teknik-teknik ini pada setiap masa sebelum mentelaah pelajaran. Teknik-teknik berkesan ini mengambil masa selama lebih kurang 15 minit sahaja.
Teknik 1:
- Otak kanan mengawal bahagian kiri badan manakala otak kiri mengawal bahagian kanan badan.
- Anda hendaklah menggerakkan kedua-dua bahagian badan anda.
- Ini akan menggerakkan ‘enjin’ otak anda!
Teknik 2:
- Baring atas katil atau lantai.
- Tenangkan diri.
- ‘Stretch’ seluruh badan anda serentak, iaitu seolah-olah anda sedang berkembang ke semua arah.
- Apabila berasakan diri anda cukup ‘tegang’, lepaskan tekanan itu sambil berkata ‘aah!’
- Lakukan sebanyak 3 kali.
- Teknik ini akan memberikan tenaga pada keseluruhan badan anda dan menyegarkan minda anda.
- Ini akan membolehkan anda mula mentelaah pelajaran dengan lebih selesa dan mudah memahami segala ilmu yang diterima.
Teknik 3:
- Pejamkan mata perlahan-lahan.
- Tumpukan perhatian anda pada bahagian tengah bulu kening anda.
- Bayangkan ada sebatang lilin di dalam kepala anda.
- Bayangkan yang lilin ini bercahaya dan menyinari segala kegelapan dalam otak anda.
- Lakukan amalan ini selama 3 minit.
- Teknik ini akan membantu menyatukan kedua-dua bahagian otak anda. Otak kanan dan otak kiri bertemu di bahagian tengah kepala iaitu di bahagian antara kedua bulu kening anda.
Teknik 4:
Baca saranan-saranan ini dan ucapkannya sebelum anda memulakan apa-apa pembelajaran. Ini akan memudahkan anda menghadapi kesulitan-kesulitan dalam sebarang topik yang sedang dipelajari. Sila pilih saranan yang anda rasakan paling sesuai dengan perasaan anda. Baca dalam hati beberapa kali.
- “AKU BIJAK, AKU PANDAI. AKU BOLEH INGAT APA SAHAJA YANG AKU BELAJAR.”
- “SUBJEK INI MUDAH. AKU SUKA SUBJEK INI. AKU PASTI BERJAYA DALAM SUBJEK INI.”
- “BAHASA INGGERIS SANGAT PENTING. AKU BOLEH MENDAPAT BANYAK FAEDAH BELAJAR BAHASA INGGERIS. BAHASA INGGERIS MUDAH. AKU BOLEH FAHAMINYA.”
Baca saranan pilihan anda sehingga sebati dengan jiwa anda. Bacalah beberapa kali sebelum memulakan pembelajaran. Anda boleh reka saranan sendiri mengikut subjek-subjek yang susah.
Saranan-saranan ini akan membantu keyakinan anda dalam keupayaan anda berjaya dalam peperiksaan. Minda seseorang pelajar yang cemerlang mempunyai keyakinan terhadap kebolehan diri sendiri. Kebolehan anda selama ini terpendam, Sekaranglah masanya. Bangunkan kebolehan anda.Yakin Boleh!!!
Sijil Pengesahan dan Kepatuhan Syariah Kenshido
February 12, 2010 by admin
Filed under Berita Terkini
Score A Programme merupakan produk e-pendidikan yang sememangnya diperlukan bagi setiap pelajar dan juga ibu bapa. Pelan pemasaran dijalankan secara MLM adalah untuk memperluaskan lagi penggunaan produk yang bermutu tinggi ini. Dari segi syariah pula, Kenshido International mempunyai bukti yang kukuh bahawa produk Score A Programme dan pelan pemasaran MLM ini adalah diiktiraf patuh syariah. Ini telah disahkan sendiri oleh ahli Panel Penasihat Syariah iaitu Ustaz Dr Engku Fadzil (Pensyarah Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Ustaz Azizi Seman (Pensyarah Syariah Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya) yang telah menjalankan kajian dan pemerhatian ke atas Kenshido International Sdn. Bhd. dan juga Score A Programme.
Syarikat Kenshido International Sdn Bhd telah disahkan Kepatuhan Syariah pada 7 Februari 2010 bersamaan 22 Safar 1431.
Di bawah adalah salinan Sijil Kepatuhan tersebut dan syukur alhamdulillah tiada lagi was-was tentang sumber pendapatan dari perniagaan ini kerana Produk dan juga Pelan Pemasaran Bertingkat kami telah dipantau dan dianalisa dan didapati TIADA perlanggaran terhadap Hukum Syara’



